mutakhir

Bendung isu pelarian

Oleh BERNAMA

Lima (Peru): Kerjasama berkaitan kedatangan migran secara tidak sekata antara topik yang disentuh dalam perbincangan dua hala Malaysia dan Australia di luar persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di ibu negara Peru, Sabtu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata, Australia dalam pertemuan itu meminta kerjasama Malaysia untuk membendung isu pelarian yang menghantui negara berkenaan ekoran kebanjiran migran itu.

“Beliau (Turnbull) mahu bendung masalah migran ini yang dikaitkan dengan permerdagangan manusia,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri program hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC.

Antara kerjasama itu adalah melalui pertukaran laporan risikan dan melakukan larangan rasmi iaitu dengan mengambil tindakan sekiranya migran berkenaan melalui perairan negara, katanya.

Najib berkata, Australia dalam pertemuan itu turut menyuarakan hasrat agar kerjasama dipertingkatkan untuk membendung ancaman keganasan yang serius.

Tambahan lagi, katanya, kawasan serantau mungkin berhadapan dengan ancaman baharu sekiranya Mosul jatuh ke tangan Iraq dan mengakibatkan mereka yang berperang di bawah panji-panji Daish pulang ke rantau Asia Tenggara.

Mengenai pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Papua New Guinea, Peter O’Neill, Najib berkata, perdana menteri negara itu mempelawa Petronas untuk melihat kemungkinan membangunkan kawasan gas asli untuk gas asli cecair (LNG) di kawasan daratan.

Disiarkan pada: November 21, 2016 @ 8:31am
d