mutakhir

Berkongsi rezeki beri petrol percuma

Oleh myMetro

Seremban: “Matlamat kami hanya mahu berkongsi rezeki diberi Allah,” kata Mohd Riduan Dollah, 38, yang mengambil inisiatif memberikan petrol secara percuma kepada penunggang motosikal, kelmarin.

Mohd Riduan bersama beberapa rakannya memberikan sumbangan bahan bakar itu secara ikhlas untuk membantu golongan memerlukan seperti pemilik motosikal yang terpaksa menanggung beban kenaikan petrol pada 1 November lalu.

Untuk itu, sejumlah RM5,000 nilai petrol dimanfaatkan hampir 3,000 penunggang motosikal di tiga stesen minyak iaitu Seremban 2, Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Melang, Kuala Pilah bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang.

Mohd Riduan berkata, inisiatif memberi petrol secara percuma kepada orang ramai adalah sebahagian program sedekah jariah dilakukannya bersama rakan dalam usaha meringankan beban masyarakat.

Ahli perniagaan itu berkata, dia tidak menyangka sambutan diterima amat menggalakkan sehingga ada penunggang motosikal yang tidak henti-henti mengucapkan syukur dan terima kasih kepadanya.

“Pada awalnya kami mahu menjelajah ke seluruh Negeri Sembilan dan tidak menghebahkan kepada orang ramai. Bagaimanapun, ketika di stesen minyak pertama di Seremban 2, ada yang memuat naik gambar di Facebook dan menjadi viral.

“Ketika kami dalam perjalanan ke Melang, ramai penunggang motosikal mula mengekori kami untuk mengisi minyak. Kami hanya sempat pergi ke tiga stesen minyak kerana sudah kehabisan peruntukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Riduan berkata, hatinya terusik melihat riak wajah penunggang motosikal yang gembira apabila dapat mengisi minyak secara percuma.

“Pemberian petrol adalah untuk berkongsi rezeki dengan golongan berpendapatan rendah seperti pekerja kilang, petani, dan nelayan.

“Saya bukan mahu mencari publisiti atau menjadi popular, tetapi sekadar bersedekah. Ini juga hasil sumbangan beberapa rakan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berkemungkinan akan meneruskan program itu di beberapa daerah lain selepas ini.

Disiarkan pada: November 21, 2016 @ 8:36am
d