mutakhir

Bayi cedera jatuh rumah pengasuh

Oleh Faliq Lajim

Gombak: Seorang bayi lelaki mengalami pendarahan di luar otak sebelah kiri dipercayai terjatuh ketika dalam jagaan pengasuhnya di Selayang Indah, di sini.

Mangsa, Muhammad Afkar Fayyadh, berusia lapan bulan disedari cedera selepas diambil ibu bapanya sebaik pulang dari tempat kerja jam 7.30 malam, Khamis lalu.

Berikutan itu, Fayyadh dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Bapanya, Amminur Redzhan, 26, ketika ditemui menyedari kejadian itu selepas anaknya itu tidak berhenti menangis dan pada masa sama seluruh muka anaknya disapu losen gatal.

“Sepanjang saya mengambil Fayyadh di rumah pengasuh, dia tidak berhenti menangis. Ketika saya mencium Fayyadh di kepala, dia menangis lagi kuat.

“Di dalam kereta, saya ternampak ada benjolan di kepala Fayyadh dan menghubungi pengasuh untuk mendapatkan kepastian jika Fayyadh terjatuh dalam jagaanya. Namun, pengasuh menafikannya,” kata Amminur.

Menurutnya, pengasuh terbabit juga memberikan alasan memang normal bayi terjatuh dan memberitahunya jangan terlalu memanjakan anak.

Dia membawa Fayyadh ke hospital swasta di tempatnya bekerja untuk mendapatkan kepastian daripada pakar.

“Doktor memaklumkan saya supaya segera menghantar anak segera ke Hospital Selayang serta membuat laporan polis di balai berdekatan berikutan kejadian menimpanya itu.

“Ketika itu, hanya tuhan saja tahu bagaimana perasaan saya dan isteri apabila anak diminta melalui pelbagai ujian termasuk ujian imbasan,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, Amminur lega anaknya tidak mengalami pendarahan dalaman dan mengalami pendarahan di luar otak di atas tempurung kepalanya.

“Saya kesal dengan kejadian menimpa anak dan berharap ia dijadikan iktibar kepada ibu bapa lain.

“Bukan saya manjakan anak, tetapi ini membabitkan soal keselamatan,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini, pengasuh anaknya tidak menjenguk Fayyadh di hospital dan bertanyakan khabar melalui khidmat pesanan ringkas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

Disiarkan pada: November 21, 2016 @ 9:11am
d