mutakhir

Nasi air dingin 400km

Oleh Muhamad Izzat Nasuruden

Ipoh: Bagi mengekalkan rasa asli menu istimewa masakan Kelantan, seorang peniaga sanggup berulang-alik dari Ipoh ke Gerik sejauh 400 kilometer (km) setiap hari bagi mengambil bekalan nasi air dingin untuk dijual di gerainya di Jalan Tambun, di sini.

Peniaga berkenaan, Mohd Rizani Rabat, 48, yang mengusahakan perniagaan itu bersama isteri, Faridah Salleh, 48, sejak dua bulan lalu mengakui dia berulang-alik setiap hari untuk mengambil bekalan nasi itu yang akan dihantar ejen dari Tumpat, Kelantan.

“Nasi air dingin ini cukup terkenal di Kelantan, jadi saya mendapatkan kebenaran daripada mereka (pengusaha nasi air dingin) untuk memasarkan menu ini di Perak.

Mohd Rizani yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkata, dia bergilir-gilir dengan pekerjanya pergi ke Gerik seawal jam 2 pagi sebelum kembali ke Ipoh jam 6.30 pagi disebabkan gerainya mula beroperasi jam 7 pagi.

“Kalau diikutkan, memang kos berulang-alik ini tinggi namun demi kepuasan pelanggan di Ipoh, saya gagahkan diri untuk membawa makanan dan tradisi masyarakat Kelantan ke sini.

“Kebanyakan masyarakat Kelantan yang merantau ke Perak menjadi pelanggan tetap saya, malah kami juga ada mengadakan perjumpaan setiap Jumaat dan melakukan aktiviti tradisi seperti dikir barat,” katanya.

Mohd Rizani berkata, selain menjalankan perniagaan sendiri, dia turut membantu peniaga kecil-kecilan berniaga dengan membekalkan nasi air dingin untuk diniagakan di beberapa tempat di sekitar negeri ini.

Katanya, ada peniaga yang sanggup berniaga secara ‘car boot sale’ bagi mencari pendapatan sampingan demi kelangsungan hidup dalam menghadapi ekonomi yang tidak menentu sekarang ini.

“Kebanyakan peniaga ini mengambil 100 bungkus nasi air dingin untuk dijual dan menariknya ada yang menjualnya hanya dengan menggunakan kereta.

“Walaupun untung yang diperoleh saya tidak seberapa lebih kurang RM1.50 sebungkus namun saya gembira kerana dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk berniaga secara kecil-kecilan,” katanya.

Menurutnya, kedainya mula beroperasi seawal jam 7 pagi dan semua menu nasi air dingin yang dijual di kedainya habis jam 11 pagi.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, dia akan mewariskan perniagaannya itu kepada anak sulungnya berusia 23 tahun yang meminati bidang perniagaan dan merancang membuka sebuah lagi kedai pada masa akan datang.

Disiarkan pada: November 21, 2016 @ 9:16am
d