mutakhir

Kecoh sebab 'Kok'

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Sidang Dewan Rakyat sesi pagi semalam, kecoh berikutan penggunaan perkataan ‘kok’ dan ‘sial’ yang dicetuskan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Khalid Samad (PAS-Shah Alam).

Pertikaman lidah dan wakil rakyat bertempik antara satu sama lain berlaku apabila Tajuddin yang sepatutnya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berkaitan insurans kepada pesawah padi, sebaliknya membangkitkan isu perhimpunan haram Bersih.

Sebaik sahaja mendengar Teresa Kok (DAP-Seputeh) ketawa, Tajuddin secara berseloroh berkata: “Apa ketawa, ini satu-satunya wanita yang ada ‘Kok’.”

Berikutan itu, beberapa wakil rakyat pembangkang membantah perkataan berkenaan yang dianggap menghina dan seksis.

M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Hanipa Maidin (PAN-Sepang), Dr Mohd Hatta Ramli (PAN-Kuala Krai) dan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) bangun mendesak supaya Tajuddin menarik balik kata-katanya.

Bagaimanapun Tajuddin mempertahankan bahawa nama ‘Kok’ yang dimaksudkannya merujuk kepada nama Teresa Kok.

Malah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee cuba menenangkan sidang dewan dan bersetuju bahawa Tajuddin merujuk kepada nama Teresa dan turut meminta beliau menjawab soalan Mahfuz berkaitan pesawah dan petani.

Khalid kemudian bangkit dan mendakwa bahawa semua yang mendengar apa yang dimaksudkan oleh Tajuddin bukan merujuk kepada nama sebenar wakil rakyat DAP terbabit.

“Kita semua faham apa yang dimaksudkan Timbalan Menteri, apa maksud dia menggunakan perkataan itu, Tuan Timbalan Yang di-Pertua lebih bijak dari itu,” katanya.

Tajuddin tetap tidak menjawab soalan yang dikemukakan sehingga Khalid hilang sabar dan menggelarnya sebagai ‘Timbalan Menteri sial’.

“Apa sial, Shah Alam kurang ajar, kurang ajar, saya cabar cakap ulang perkataan ‘sial’ di luar,” tegasnya.

Khalid sekali lagi bangun dan terus menjerit-jerit perkataan makian itu sambil Tajuddin turut bertempik ‘kurang ajar’ kepada wakil rakyat pembangkang itu.

Keadaan menjadi tidak terkawal dan cabar mencabar antara wakil rakyat pembangkang dengan Timbalan Menteri itu.

Disiarkan pada: November 22, 2016 @ 8:23am
d