mutakhir

Syor miliki lokap sendiri

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mencadangkan semua agensi penguatkuasaan memiliki lokap masing-masing bagi mengelak kesesakan di lokap Polis Diraja Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Yaacob Md Sam berkata, Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu mempunyai lokap sendiri untuk menampung tahanan mereka.

“Sebelum ini, sekiranya ada tangkapan besar-besaran, tahanan mereka akan ditempatkan di lokap polis yang kini semakin sesak.

“Terdapat lebih 300 lokap yang diwartakan dan cadangan pembinaan lokap baru itu sudah dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Kita sedang berusaha dan mengenal pasti kawasan untuk menambah pembinaan lokap bagi menangani masalah kesesakan tahanan,” katanya ketika ditemui selepas Program Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Yaacob berkata, tahun ini pihaknya menerima tujuh aduan daripada orang awam berhubung pelbagai kesalahan polis di negeri ini termasuk kes tahanan lokap dicederakan.

Katanya, orang ramai diminta melaporkan sekiranya mempunyai maklumat pelbagai kesalahan yang dilakukan agensi penguatkuasaan termasuk pihak polis.

“Bagi keluarga yang mempunyai tahanan di lokap dan cedera atau meninggal dunia, kita minta mereka melaporkan kepada kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2016 @ 8:45am
d