mutakhir

Remaja berdepan hukuman gantung

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine.

Terdahulu, tertuduh berusia 18 tahun dari Kampung Pengkalan Ajal, Kuala Berang, Hulu Terengganu, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah seberat 50.18 gram di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Ajal, jam 11 pagi pada 7 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan dengan kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebelum Abdul Hayyi menetapkan 21 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kegiatan seorang remaja berusia 18 tahun dari Kampung Pengkalan Ajal yang berjinak-jinak dengan dadah mengundang padah apabila dia ditahan dalam serbuan polis di rumah keluarganya.

Berikutan itu, polis turut merampas 500 biji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM10,000 yang disembunyikan di bawah rumah itu.

Disiarkan pada: November 22, 2016 @ 8:47am
d