mutakhir

Kerja sedut tumpahan bermula [METROTV]

Oleh myMetro

Padang Besar: Kerja pembersihan anak sungai dan kolam takungan sekitar daerah ini yang dicemari susu getah bercampur cecair ammonia bermula semalam.

Difahamkan, kerja pembersihan itu dijalankan syarikat yang mengendalikan tapak penyimpanan kontena Padang Besar selepas diarahkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri Datuk Mat Rawi Kassim berkata, syarikat terbabit melantik kontraktor untuk kerja menyedut semula sisa bahan kimia berkenaan dari sungai dan kolam takungan yang tercemar.

Katanya, sehingga kini, lebih 40 liter sisa tumpahan disedut dan kerja berkenaan memakan masa agak lama berikut memerlukan ketelitian ketika mengendalikan sisa bahan kimia itu.

“Walaupun langkah awal sudah diambil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk menutup aliran air menuju ke Empangan Timah Tasoh dari kolam tadahan itu, satu tindakan berkesan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan masalah diatasi segera.

“Sisa tumpahan dikumpulkan di satu tempat selamat untuk dilupuskan agar ia tidak mencemarkan sumber air lain yang ada di sini,” katanya ketika ditemui selepas melawat Rizab Kolam Tadahan Banjir Sungai Wang Rhua, disini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya risau jika hujan lebat yang boleh mengakibatkan air dari kolam tadahan banjir itu melimpah.

“Jika hujan lebat dan air dari kolam tadahan melimpah, sisa tumpahan akan masuk ke kawasan tanaman getah yang terletak di sekitar kawasan Sungai Wang Rhua, sekali gus mengakibatkan anak pokok getah terancam yang akhirnya pokok boleh mati.

“Justeru itu, kita mengadakan mesyuarat tergempar dengan jawatankuasa berkaitan berhubung perkara ini dan pada masa sama, kita minta syarikat pengendali mematuhi dan mengadakan prosedur standard operasi (SOP) menangani kemalangan industri,” katanya.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Abdul Aziz Parmin berkata, sampel air di kawasan tadahan banjir diambil untuk diteliti tahap pencemaran.

“Kita mahu melihat kualiti air sebelum dan selepas kejadian itu (tumpahan ammonia)... berdasarkan data awal diterima kualiti air di kawasan itu tidak terjejas dan masih selamat.

“Tindakan awal menutup saliran ke sungai sejurus selepas kejadian tumpahan berlaku. Sisa tumpahan didapati mengalir ke kolam tadahan banjir saja dan tidak merebak ke Sungai Jarum di Titi Tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2016 @ 9:30am
d