mutakhir

Lega ibu depan mata

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia, Kamsiah Jamhari, 53, yang diserang angin ahmar ketika berada di Perth, Australia, September lalu dibawa pulang ke tanah air.

Anak sulungnya, Nuraini Abd Rahman berkata, ibunya diiringi doktor dari Hospital Sir Charles Gairdner, Perth menaiki pesawat Malaysia Airlines dan tiba tengah malam Jumaat lalu.

Sejurus tiba, Kamsiah terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Kata Nuraini, pihak hospital membenarkan ibunya dibawa pulang ke negara ini atas budi bicara meskipun bil rawatan belum dijelaskan sepenuhnya.

“Kami sekeluarga hanya mampu bayar RM39,000 daripada jumlah keseluruhan yang dianggarkan lebih RM574,000.

“Kami membuat rayuan dengan pihak hospital di sana untuk membawa ibu pulang dengan segera kerana jika tidak, bil rawatannya semakin meningkat.

“Mujurlah pihak hospital memahami keadaan kami dan atas budi bicara, ibu dibenarkan pulang namun bayaran perlu dilunaskan dalam tempoh diberi,” katanya.

Menurut Nuraini, ibunya sedar namun pergerakannya terbatas.

Katanya, dia sekeluarga menunggu laporan daripada pihak hospital untuk mengetahui keadaan terkini ibunya.

“Saya lega dan bersyukur kerana ibu kini berada di depan mata.

“Kami tiga beradik serta keluarga terdekat bergilir-gilir menjaga ibu di hospital memandangkan masing-masing sukar mendapat cuti panjang.

“Terima kasih kepada yang menghulurkan sumbangan selama ini dan hanya Allah dapat membalasnya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan laporan mengenai keadaan ibu tunggal, Kamsiah yang terlantar di hospital di Perth selepas diserang angin ahmar ketika melawat kakaknya di sana.

Kamsiah menjalani beberapa pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawa dan sehingga kini keluarganya terus mengumpul sumbangan orang ramai untuk melunaskan bayaran rawatan berkenaan.

Bagi yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank anaknya, Nuraini Abd Rahman 151463209828 atau hubungi 0172393153.

Disiarkan pada: November 22, 2016 @ 9:34am
d