mutakhir

Sedekah duit pampasan anak

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: “Sebahagian wang pampasan untuk anak bongsu saya yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ini akan disedekahkan,” kata Faridah Abdul Ghani, 57, selepas menerima cek pampasan insurans berkelompok atlet Terengganu, di sini, semalam.

Faridah menerima wang pampasan berkenaan bagi pihak anaknya, Fatin Nadeera Jasni, yang meninggal dunia, 27 Mei tahun lalu ketika berusia 18 tahun selepas koma lebih setahun akibat kemalangan di Jalan Sungai Ikan, Tepoh, Kuala Nerus pada 5 Mei 2014.

Fatin yang juga atlet kabaddi negeri parah di kepala apabila kenderaan dipandu rakannya terbabit dalam kemalangan jam 7 pagi ketika dalam perjalanan ke Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu untuk mendaftar kemasukan sesi persekolahan tingkatan enam.

“Akibat kemalangan, Fatin tidak sedarkan diri dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana mengalami pendarahan di dalam kepala.

“Ketika di HSNZ, arwah sempat menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala sebelum disahkan koma dan dibawa pulang untuk dijaga di rumah selama setahun,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh menjaganya itu dia juga terpaksa mendapatkan pelepasan majikannya untuk pulang ke rumah bagi memberi susu melalui tiub secara berkala.

Katanya, dia juga turut dibantu anaknya yang lain kerana Fatin ketika itu memerlukan perhatian lebih.

“Saya reda dengan pemergiannya dan wang pampasan ini akan disedekahkan kepada pihak tertentu dan berharap manfaatnya akan diterima arwah,” katanya yang juga seorang kerani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Menurutnya, sebelum mewakili negeri dalam sukan kabaddi, Fatin juga merupakan atlet dan jurulatih karate serta cenderung untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains sukan tetapi harapannya itu tidak kesampaian.

Disiarkan pada: November 23, 2016 @ 8:37am
d