mutakhir

Putus lima perkara

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Lima perkara diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pendidikan Agama Islam yang bersidang semalam bagi memastikan kelangsungannya sentiasa selari dan memenuhi keperluan arus perdana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan sentiasa mengambil perhatian utama terhadap hala tuju dan masa depan Pendidikan Agama Islam di negara ini.

Katanya, perkara diputuskan termasuk membangunkan Program Asas Persediaan Bahasa Arab untuk pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Timur Tengah serta melaksana Ujian Kelayakan Bahasa Arab (UKBA) di negara ini.

“Selain itu, syarat memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) diperluaskan bagi memberi peluang kepada murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) untuk memohon dan belajar di sekolah berkenaan.

“Memberi kelulusan khas kepada pemegang Ijazah Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra Mesir lepasan Maahad Tahfiz al-Quran, Pulai Chondong Kelantan sebagai Ijazah Pertama Pengajian Tahfiz mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat bersetuju menyemak semula syarat minimum A- kepada B untuk subjek Bahasa Arab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat kelayakan untuk pelajar memohon dan memasuki universiti awam di Jordan.

“Kerajaan yakin pelaksanaan keputusan ini akan menjadi aspirasi ampuh kepada legasi Pendidikan Islam yang gemilang di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2016 @ 8:39am
d