mutakhir

JPV nafi arah suntik mati anjing liar

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menafikan dakwaan diviralkan seorang pemilik akaun Facebook (FB) kononnya jabatan berkenaan mengeluarkan arahan menyuntik hingga mati anjing liar ditangkap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Pengarah JPV Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang memo atau pekeliling mengenai arahan seperti didakwa itu.

Beliau berkata, dakwaan terhadap JPV tidak berasas dan dipercayai dilakukan kerana terlalu mengikut perasaan.

“Saya tidak pernah mengeluarkan arahan itu. Koloni baru anjing terbiar itu terbentuk kerana terdapat segelintir penduduk tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik untuk memelihara haiwan kesayangan.

“Ada membuangnya apabila tidak mampu memberikan tumpuan pemeliharaan sehingga jumlah haiwan itu membiak secara tidak terkawal dan akhirnya mengganggu orang ramai,” katanya.

Menurutnya, terdapat pihak cakna mengenai perkara itu sepatutnya boleh berganding bahu dengan agensi berkaitan bagi mengatasi masalah anjing liar semakin berleluasa di beberapa kawasan di daerah itu.

Katanya, kempen kepada pemilik haiwan berkenaan juga boleh dilakukan supaya mereka tidak mudah membuang atau membiarkan anjing berkeliaran.

“Tindakan memberi sokongan dengan membekalkan makanan kepada anjing terbiar itu hanya menyebabkan ia terus membiak dan menambah populasi secara drastik.

“Keadaan itu menyebabkan ia mengganggu dan mengancam keteteraman awam di kawasan perumahan atau penempatan penduduk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai seorang pemilik akaun FB mendakwa pengarah jabatan itu memberi kebenaran menyuntik anjing ditahan MBKT hingga mati.

Pemilik akaun FB berkenaan dipercayai wanita itu juga mendoakan supaya Allah menurunkan bala kepada pihak melakukan kekejaman itu.

Dr Mohd Termizi berkata, beliau berharap orang ramai jangan bersikap terlalu mengikut perasaan sehingga membuat tuduhan keras, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab di laman sosial yang secara tidak langsung memburukkan keadaan.

Menurutnya, JPV selama ini berperanan membantu masyarakat menangani pelbagai isu berkaitan ternakan dan haiwan peliharaan.

“Saya harap perkara itu tidak dijadikan isu kerana ia menimbulkan pelbagai tuduhan tidak berasas selain berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2016 @ 8:46am
d