mutakhir

Sembunyi celah batu [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Tindakan puluhan pekerja binaan warga asing menyembunyikan diri di sebalik celahan batu-bata, bungkusan simen dan besi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tidak menjadi sebaliknya mereka ditahan dalam serbuan dan pemeriksaan dijalankan di kawasan tapak pembinaan sebuah pangsapuri di Bukit Pelindung, di sini, semalam.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Pahang dan Terengganu bersama Bahagian Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) jam 11 pagi itu, menahan 254 pekerja asing dipercayai bekerja di kawasan berkenaan tanpa dokumen sah.

Terdahulu, serbuan disertai beberapa wartawan dan jurugambar mengepung kawasan pembinaan berkenaan menyebabkan puluhan pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri serta menyembunyikan diri di kawasan tapak pembinaan itu.

Kebanyakan pekerja binaan itu menyembunyikan diri di kawasan longgokan batu-bata dan barangan pembinaan namun dikesan pegawai dan anggota penguatkuasa Imigresen.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pahang Mohd Norazam Abdullah berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan selama dua bulan selain aduan penduduk setempat yang membantu memberikan maklumat.

“Seramai 161 pekerja asing warga Indonesia ditahan, 68 Bangladesh, 11 Myanmar, tujuh individu yang memiliki dokumen penduduk tetap dan tiga Nepal.

“Dalam operasi itu, dua kanak-kanak warga Indonesia juga ditahan untuk pemeriksaan. Semua mereka dianggarkan berusia dua hingga 60 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, mereka yang ditahan kebanyakan melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah, dokumen sudah tamat tempoh, tidak mempunyai dokumen pekerjaan serta tidak memiliki kad pendaftaran personal binaan yang dikeluarkan CIDB.

Norazam berkata, tiga wakil majikan berusia 20 hingga 50 tahun juga ditahan bagi membantu siasatan.

“Semua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Pahang untuk siasatan dan tindakan lanjut. Selepas proses dokumentasi selesai mereka akan dihantar ke depoh tahanan di Ajil, Terengganu,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah, Seksyen 15 (1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi masa dibenarkan dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Disiarkan pada: November 24, 2016 @ 9:40am
d