mutakhir

Pura-pura pengsan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Cheras: Seorang pelayan pelanggan (GRO) ‘China Doll’ berpura-pura tergolek pengsan mendadak sebaik menyedari kehadiran sepasukan anggota polis.

Dalam kejadian jam 1 pagi semalam, wanita terbabit berlakon ‘mati’ sejurus sepasukan anggota polis Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyerbu premis hiburan di Bukit Jalil di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 22 GRO serta dua penjaga premis ditahan dalam operasi mengejut itu.

Menurutnya, serbuan diketuai Asisten Superintendan Zahiruddin Baharon diadakan di dua pusat hiburan di Jalan Ampang dan di Bukit Jalil di sini.

“Salah sebuah premis hiburan beroperasi tanpa lesen dan polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,576.

“Ketika serbuan dijalankan semua GRO terbabit sedang leka melayan pelanggan dan tidak menyedari kehadiran polis,” katanya.

Rusdi berkata, pihaknya turut merampas mesin karaoke, satu set sistem audio dan mikrofon dalam operasi cegah maksiat itu.

“Polis percaya semua GRO warga China yang ditahan itu turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan. Salah seorang daripada mereka yang berlakon pengsan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk proses siasatan dan dokumentasi.

“Mereka ditahan kerana melanggar kesalahan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B dan Peraturan 11 (7) akta yang sama,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2016 @ 9:44am
d