mutakhir

'Anak saya cacat kekal di mulut'

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: “Anak saya mengalami kecacatan kekal terutama pada mulut akibat disimbah minyak panas namun bagi kami, dia tetap comel,” kata Mohd Salim Nurali, 20, bapa kepada Nur Arissa Jannah, 15 bulan yang melecur teruk di muka, tangan, bahu dan lengan akibat terkena minyak panas dalam kejadian 14 November lalu.

Bayi malang itu kini dirawat di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mohd Salim berkata, dia dan isteri terlalu rindu wajah comel anak dan keletah manjanya yang menghiburkan.

“Walaupun wajah anak berubah, tetapi dia tetap comel di hati kami namun kami sebak setiap kali melihat tubuhnya terlantar di katil hospital,” katanya kepada Harian Metro.

Semalam, muka hadapan akhbar ini melaporkan, seorang bayi melecur 20 peratus pada beberapa anggota badan selepas menjadi mangsa dendam rakan sekerja bapanya yang berpunca daripada perselisihan faham di gerai Mohd Salim yang bekerja di Bukit Ampang, Selangor.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, ibu Nur Arissa, Nor Narissa Sofea, 20, turut melecur di kedua-dua lengan, paha dan kaki kiri kerana terkena minyak panas.

Mohd Salim berkata, paling bimbang dia mengenangkan masa hadapan anaknya yang mungkin terjejas disebabkan kecacatan yang dialaminya.

“Saya merayu kepada orang ramai supaya dapat menghulurkan sumbangan bagi menampung kos rawatan anak.

“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0500341000025922 milik isteri, Nor Narissa Sofea,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya masih memburu dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam serangan berkenaan.

Disiarkan pada: November 25, 2016 @ 9:11am
d