mutakhir

'Tak sangka air naik cepat'

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: “Ketika kami sekeluarga menonton televisyen, secara tiba-tiba rumah dimasuki air menyebabkan kami bergegas menyelamatkan barangan ke tempat selamat.

“Hujan lebat lebih dua jam menjadi punca air masuk dengan cepat dan kami sempat menyelamatkan beberapa barangan penting saja,” kata Wahidah Hassan seorang daripada lebih 120 keluarga dari lima kampung di Mukim Siong dan Baling yang dilanda banjir, malam kelmarin.

Wahidah, 35, dari Kampung Banggol Derum Bongor berkata, kebiasaannya rumah mereka akan dinaiki air sekiranya hujan lebat selama dua jam kerana terletak berhampiran Sungai Ketil.

Dia berkata, mereka tidak membuat persiapan dengan mengangkat barang ke tempat tinggi kerana tidak menjangka air akan naik dengan begitu cepat.

“Ini menyebabkan perabot dan tikar tidak sempat diselamatkan. Setiap kali hujan lebat, beginilah keadaannya apabila kami terpaksa bertungkus-lumus membersihkan rumah yang berlumpur,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Daud Mansor, 38, berkata, kedudukan rumah mereka yang terletak berhampiran dengan Sungai Ketil menyebabkan terdedah dengan banjir.

Beliau berkata, setiap tahun apabila banjir, rumah mereka dinaiki air sedalam satu meter.

Dalam kejadian semalam, hujan lebat lebih dua jam sejak jam 6 petang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah setinggi satu meter ke penempatan penduduk jam 10 malam.

Antara kampung yang terbabit ialah Kampung Baru, Kampung Lalang, Siput, Pokok Setol di Mukim Siong dan Kampung Banggol Derum, Mukim Bongor.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, mangsa diminta menghubungi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan membuat laporan polis mengenai bencana itu bagi memudahkan bantuan disalurkan.

Disiarkan pada: November 26, 2016 @ 5:14am
d