mutakhir

Vaksin ayam

Oleh Fazurawati Che Lah

Serdang: Kejayaan mencipta vaksin mencegah penyakit ayam ternakan ciptaan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang turut digunakan beberapa negara Asia membolehkan universiti itu merangkul anugerah WVPA-Merial Innovation in Vaccination Award yang berlangsung di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Anugerah itu diterima Dekan Fakulti Perubatan Vaterinar, Profesor Dr Mohd Hair Bejo yang juga ketua penyelidik yang membangunkan vaksin penyakit Gumboro (Bursal Disease Vaccine).

Dr Mohd Hair berkata, kematian ayam yang tinggi di ladang akibat wabak penyakit sekitar 1990-an hingga kerugian jutaan ringgit menyebabkan beliau dan beberapa kumpulan penyelidik membangunkan vaksin untuk ternakan itu.

Katanya, pelbagai uji kaji vaksin dijalankan bagi memastikan ia berhasil untuk mengawal serta mencegah bakteria yang menyerang ternakan.

Menurutnya, sejak 1993, penyelidik UPM berjaya mencipta tiga jenis vaksin iaitu New Castle Disease, Fowlpox dan Bursal Disease Vaccine.

“Gumboro adalah penyakit menyebabkan kematian ayam yang tinggi dan hilang daya tahan (immunosuppression).

“Sekiranya unggas tidak mati, ia kehilangan daya tahan dan pembesaran juga terbantut selain akan mati jika diserang penyakit lain,” katanya.

Katanya, vaksin penyakit Gumboro atau MyVAC UPM93 dan MybHatch UPM93 itu mula dibangunkan pada 1993 dan dikomersialkan pada 2005.

Menurut beliau, tiga negara termasuk Malaysia, Myanmar dan Vietnam mengguna pakai vaksin itu untuk mencegah penyakit berjangkit dan kini pihaknya menunggu kelulusan Indonesia bagi membawa masuk vaksin itu ke negara berkenaan.

“Vaksin itu hanya perlu dimasukkan ke dalam air minuman ayam atau melalui suntikan di bahagian leher ayam, setiap satu botol vaksin boleh menghasilkan 1,000 dos.

“Pengatucaraan ambilan vaksin pula bergantung kepada jenis ayam, hanya sekali suntikan sahaja bagi ayam daging jenis ladang penetasan iaitu pada usia ayam satu hari,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2016 @ 5:18am
d