mutakhir

Kerana seringgit!

Oleh Salman Hamat

Melaka: Hanya RM1. Itulah nilai sebiji telur penyu yang dijual pencuri kepada orang ramai atau pelancong yang berminat menikmati makanan eksotik itu.

Renjer penyu, Haron Safar, 60, berkata, sebiji telur penyu karah sebenarnya tidak ternilai harganya kerana peluang untuk seekor anak penyu ditetaskan hidup adalah amat tipis.

Katanya, renjer penyu adalah sukarelawan yang bertugas memungut dan melindungi telur penyu daripada jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Dia yang sudah 20 tahun mengabdikan diri sebagai pengutip telur penyu karah di Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor Gajah berkata, pencuri telur meneruskan aktiviti itu kerana mahu mendapatkan wang mudah dan cepat.

“Sebenarnya mereka juga boleh bantu program pemuliharaan penyu dengan menyerahkan telur kepada jabatan perikanan namun kerana mahu wang, ia dijual sebagai makanan.

“Mungkin mereka kurang faham mengenai spesies terancam hingga langsung tidak ada rasa tanggungjawab mahu membantu meneruskan kelangsungan pendaratan penyu di negeri ini,”katanya ketika ditemui di Pusat Konservasi Penyu Padang Kemunting di sini.

Dia berkata, penyu karah adalah hidupan akuatik lemah-lembut yang kerap diancam oleh persekitaran atas pelbagai faktor bermula daripada peringkat telur, anak hinggalah dewasa.

Paling menyedihkan sepanjang berkhidmat sebagai renjer dia kerap terserempak dengan penyu karah tidak cukup sifat iaitu kehilangan sirip depan atau belakang sekali gus menyukarkan induk betina haiwan itu menggali lubang untuk bertelur.

“Banyak faktor menyebabkan penyu cedera hingga menjadi cacat termasuk diserang pemangsa seperti jerung atau terkena kipas bot laju atau kapal. Paling menyedihkan saya ada dalam kalangan nelayan mengambil jalan mudah dengan memotong sirip penyu tersangkut pada pukat atau jaring mereka.

“Di darat penyu diancam pencuri telur, di laut pula terdedah kepada pelbagai ancaman lain, jadi sebagai manusia kita patut bersama-sama berusaha memulihara penyu karah yang juga khazanah anugerah Allah yang tiada gantinya jika sudah pupus,”katanya.

Bekas anggota Rejimen Gerak Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, setiap malam dia akan meronda sejauh dua kilometer di sepanjang pantai Padang Kemunting untuk mengutip telur penyu karah yang mendarat.

Bermula jam 9 malam sehingga 5 pagi, berbekalkan lampu suluh dan besi pencucuk, dia meronda sepanjang pantai terbabit malah ada kalanya, terserempak dengan pencuri telur berhampiran sarang penyu karah.

“Apa boleh saya lakukan ialah nasihatkan mereka jangan teruskan aktiviti itu, ada juga yang melawan hingga berlaku pertengkaran, tetapi saya tetap bertegas melarang perbuatan itu.

“Bagi saya ini adalah perjuangan dan sumbangan sebagai seorang manusia kepada alam, diharapkan Jabatan Perikanan melantik lebih ramai renjer dan pemungut telur penyu karah berlesen selepas ini.

“Sekurang-kurangnya pemungut telur penyu karah berlesen dalam kalangan nelayan tempatan dapat menambah pendapatan apabila dibayar RM1.15 untuk setiap biji telur diserahkan, sekali gus mengelakkan mereka daripada terus mencuri khazanah berharga itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2016 @ 6:13am
d