mutakhir

Telur penyu RM1 di pasaran gelap

Melaka: Jabatan Perikanan Melaka, bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengekang kes kecurian telur penyu karah di beberapa pantai utama yang menjadi sarang hidupan itu .

Pengarahnya Mohd Ghazali A Manap berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti tiga individu yang kerap mencuri telur penyu karah di sepanjang pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menahan mana-mana individu dan hanya memantau aktiviti mereka namun tidak teragak-agak bertindak tegas jika mereka terus ingkar terhadap peringatan diberikan.

“Kami masih berlembut dan menegur perbuatan mereka, jika terus degil barulah tindakan tegas diambil, PDRM juga turut memantau kawasan terbabit.

“Apa kami kesalkan telur penyu karah yang dicuri dijual di pasaran gelap pada harga cuma RM1. Bagaimapun, kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tegas jika didakwa di mahkamah,” katanya.

Mohd Ghazali berkata, Akta Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu, 1999) jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, usaha memulihara penyu karah perlu dijalankan secara berterusan kerana khuatir hidupan akuatik itu menerima nasib seperti populasi tuntung yang kini berada dalam keadaan kritikal.

Tuntung tergolong dalam kumpulan reptilia seperti penyu, labi-labi dan kura-kura hidup di air payau, namun pemburuan hidupan itu untuk mendapatkan daging sebelum dieksport ke luar negara menyebabkan ia hampir pupus.

Walaupun pemburuan tuntung kini tidak lagi dibenarkan namun usaha meningkatkan populasi reptilia itu sukar berikutan gangguan pelbagai faktor termasuk habitat asal yang semakin berkurangan.

Disiarkan pada: November 27, 2016 @ 8:35am
d