mutakhir

Rai hari jadi mantan PM lepas majlis konvo

Klang: Majlis Konvokesyen Kolej WIT ke-31 yang diadakan di Hotel Premiere Bukit Tinggi, di sini, semalam, turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mantan Perdana Menteri itu yang menjadi tetamu kehormat menyampaikan diploma dan sijil kepada 568 lulusan kolej berkenaan turut memotong kek dan pulut kuning selepas majlis berakhir.

Pegawai Perhubungan Awam kolej berkenaan Mohd Hosni Jahari berkata, secara kebetulan majlis konvokesyen berkenaan jatuh pada hari ulang tahun kelahiran Abdullah.

“Pada bulan Julai, saya dan Pengerusi Kolej WIT Tan Sri Zainal Rampak menjemput Tun dan ketika itu saya dimaklumkan mengenai tarikh majlis konvokesyen yang sama ulang tahun kelahiran beliau (Abdullah).

“Kami merancang sambutan sederhana meraikan ulang tahun kelahiran Tun. Malah, juruacara majlis turut mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada Tun pada majlis itu,” katanya.

Sementara itu, Zainal turut mengucapkan selamat ulang tahun ke-77 kepada Abdullah di dalam ucapannya.

Pada majlis berkenaan, 85 lepasan kolej menerima diploma masing-masing manakala 483 lagi menerima sijil kemahiran dalam pelbagai bidang kemahiran.

Disiarkan pada: November 27, 2016 @ 8:56am
d