mutakhir

Amaran batal lesen

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Mulai Januari tahun depan, pekerja warga asing tidak dibenarkan berkhidmat sebagai pekerja bahagian hadapan bagi premis di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Naib Presiden Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi berkata, larangan ini membabitkan pekerja di medan selera dan pasar di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.

Katanya, larangan penggunaan perkhidmatan pekerja warga asing di bahagian dapur seperti memasak dan mencuci dikuatkuasakan bermula Jun tahun depan.

“PPj akan mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan mereka sekiranya ada pengusaha gagal mematuhi arahan ditetapkan kami.

“Bagi premis yang bukan di bawah seliaan PPj, pemilik dibenarkan mengambil pekerja asing, tetapi jika didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen mereka akan diberikan amaran sebelum lesen perniagaan dibatalkan,” katanya sewaktu mengadakan pemeriksaan ke atas premis makanan dan restoran di sekitar Presint 15, di sini, malam kelmarin.

Operasi tiga jam itu bermula jam 8 malam disertai 51 anggota penguat kuasa PPj termasuk Bahagian Kesihatan dan Persekitaran serta Bahagian Undang-Undang PPj.

Sebanyak 13 premis makanan diperiksa bagi memastikan piawaian ditetapkan ke atas mereka berada pada tahap memuaskan.

Azizi berkata, operasi diadakan secara berterusan bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan termasuk mengenal pasti struktur tambahan atau pengubahsuaian premis yang dilakukan tanpa kebenaran.

“Dalam operasi ini, PPj turut memberikan notis penutupan selama 14 hari kepada restoran termasuk menyita beberapa kerusi dan meja yang diletakkan di kaki lima kerana menghalang laluan orang ramai.

“Arahan penutupan sementara restoran ini dikeluarkan kerana kebersihan tidak berada pada tahap memuaskan, malah kami pernah mengeluarkan dua notis amaran namun diabaikan pengusaha,” katanya.

Katanya, sebanyak 30 kompaun dan 36 notis amaran dikeluarkan PPj kepada pemilik premis, manakala empat premis diarahkan ditutup sehingga bulan ini.

Disiarkan pada: November 27, 2016 @ 9:01am
d