mutakhir

Diperdaya menyundal

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Harapan menggunung diletakkan 35 wanita warga India dan Sri Lanka apabila ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah, pekerja ladang dan pembantu kedai di negara ini.

Malangnya mereka diperdaya sindiket antarabangsa sebelum dijual sebagai pelacur murahan pada harga hanya RM30 sahaja.

Itu nasib dialami semua mangsa yang dipaksa menjual tubuh di sekitar ibu kota sejak lapan bulan lalu.

Semua mereka bagaimanapun diselamatkan sepasukan anggota Polis Kuala Lumpur melalui operasi Op ATIP Khas di tiga lokasi sekitar Brickfields di sini, pada jam 5 pagi kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, sindiket didalangi seorang lelaki Sri Lanka dan seorang wanita warga India.

Menurutnya, suspek dikesan memperdagangkan manusia selain menjalankan aktiviti eksploitasi seks sekitar Pasar Seni dan Lebuh Pudu di sini.

Katanya, selain menahan dua warga asing berusia 32 dan 47 tahun yang mengetuai sindiket itu, polis turut memberkas tiga pemandu, tiga penjaga premis sebelum menyelamatkan 30 wanita warga India dan lima warga Sri Lanka.

“Sindiket ini dikesan menyewa kondominium dan flat di kawasan Brickfields sejak lapan bulan lalu untuk menempatkan semua wanita itu.

“Semua wanita itu terpedaya dengan tawaran kerja sebagai pembantu rumah, pekerja ladang dan pembantu kedai sebelum dijadikan pekerja seks sebaik tiba di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sindiket itu mensasarkan lelaki warga asing seperti Bangladesh, India dan Nepal sebagai pelanggan selain lelaki hidung belang tempatan.

Katanya, sindiket itu mula beroperasi seawal jam 8 pagi hingga 8 malam dan setiap wanita itu dibayar RM30 bagi setiap pelanggan dengan purata empat pelanggan sehari.

“Selain itu, mereka juga dikehendaki membayar RM150 seorang kepada ahli sindiket setiap bulan.

“Sindiket akan menguruskan pengangkutan semua mangsa dari Brickfields ke Pasar Seni dan Lebuh Pudu dengan menggunakan van dan kereta,” katanya.

Semua suspek termasuk dalang utama direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 dan 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Disiarkan pada: November 27, 2016 @ 9:09am
d