mutakhir

Terdampar!

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Balik Pulau: “Saya tidak putus-putus berdoa dan berzikir semoga Aiman ditemui selamat dalam keadaan apa sekali pun,” kata ibu kepada Wan Muhammad Aiman Ekhsan Awang @ Mansor, 19, lelaki yang dilaporkan hilang lebih 12 jam selepas keluar memancing di Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong di sini, semalam.

Wan Pok Wan Hassan, 61, dari Sungai Rusa, Balik Pulau berkata, dia bersyukur apabila anaknya ditemui selamat oleh sekumpulan nelayan terdampar di atas batu di pantai dalam keadaan lemah.

Katanya, sebelum kejadian, dia melarang anaknya keluar memancing di kawasan pantai berkenaan bersama rakannya disebabkan cuaca kurang baik termasuk hujan lebat.

“Selepas dua jam Aiman keluar, saya dikejutkan dengan berita kehilangannya selepas dia terjatuh ke laut ketika mengambil batang pancing yang tersekat di celah batu.

“Ketika membetulkan batang pancing, tiba-tiba ombak kuat dan Aiman terjatuh ke laut sebelum hilang daripada pandangan rakannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Balik Pulau di sini, semalam.

Wan Muhammad Aiman kini dirawat di Unit Kecemasan sebelum dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan lanjut dan keadaannya masih lemah.

Wan Pok berkata, anaknya pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Sungai Petani, Kedah baru pulang ke rumah, malam Khamis lalu sebelum keluar memancing bersama rakannya, malam kelmarin.

Katanya, operasi mencari membabitkan seluruh ahli keluarga termasuk suami, abang dan kakak bersama-sama penduduk kampung dan pihak berkuasa dilakukan jam 7 pagi sebelum pada jam 11.45 pagi, Aiman ditemui dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Mohd Hasni Sabran berkata, selepas maklumat awal diterima pada jam 12.49 tengah malam kelmarin, operasi mencari dan menyelamat bermula.

Beliau berkata, selepas beberapa jam mencari, mangsa belum ditemui dan operasi ditangguhkan sementara waktu pada jam 4 pagi sebelum disambung semula pada jam 7 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan bersama anggota Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan operasi dibahagikan kepada beberapa kawasan termasuk di kawasan 200 kaki menghala ke kiri dan kanan pesisir pantai.

Disiarkan pada: November 27, 2016 @ 9:23am
d