mutakhir

Ulat gonggok ganggu kenduri

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kehadiran serangga dari spesies ulat gonggok yang ‘menyerang’ Kampung Kuala Tebengau, Kuala Kedah, di sini, sejak seminggu lalu menimbulkan rasa tidak selesa majlis perkahwinan di kampung itu semalam.

Difahamkan, ulat itu dipercayai berpunca dari pokok api-api di tepi laut berhampiran.

Penduduk kampung terbabit mendakwa ulat itu muncul sejak seminggu lalu walaupun usaha memusnahkannya turut dilakukan sebelum ini namun bilangannya bertambah sehingga masuk ke dalam rumah penduduk.

Bapa pengantin, Mat Ali Zainol, 56, berkata, sebelum ini, dia resah memikirkan kehadiran ulat itu disebabkan majlis perkahwinan anak perempuannya, Qurratuaini Mat Ali, 28, berlangsung semalam.

Menurutnya, disebabkan bimbang dengan keadaan itu, dia yang menjemput lebih 1,000 tetamu terpaksa menyembur racun serangga berhampiran kawasan rumahnya untuk memusnahkan serangga berkenaan, tetapi kehadiran ulat itu semakin bertambah.

“Walaupun orang ramai tak selesa namun majlis kenduri tetap berjalan lancar dan mereka faham dengan situasi yang dialami walaupun ada yang terpaksa meletak kenderaan jauh kerana bimbang ulat berkenaan penuh pada motosikal dan kereta yang diletakkan di bawah pokok.

“Selain rumah saya, kira-kira 32 rumah penduduk berhampiran juga diserang ulat ini, tetapi kawasan rumah kami paling banyak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mat Ali mengakui sudah menghubungi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu memusnahkan ulat berkenaan, tetapi bilangannya terus bertambah walaupun ia dimusnahkan hingga penuh di bahagian pokok, dinding rumah, kereta dan apa yang benda yang ada di kawasan itu.

Penduduk lain, Ku Othman Ku Jiwa, 55, berkata, dia yang mengalami alahan kulit turut mengalami gatal-gatal pada bahagian perut akibat terkena serangga berkenaan menyebabkan dia kerap menggaru sehingga menyebabkan bengkak kecil dan luka.

Katanya, dia sudah mendapat rawatan di sebuah klinik di sini dan dimaklumkan mengalami alahan kulit dan diberi ubat sapu untuk merawat bahagian gatal.

“Saya kena pun masa duduk di tepi pantai tiga hari lalu dan ketika itu saya tak perasan ada banyak ulat di kawasan pokok api-api di kawasan itu sebelum menyedarinya selepas melihat banyak ulat di pesisir pantai dan tepi jalan kampung.

“Kami penduduk juga bimbang dengan kehadiran serangga ini, malah terpaksa memasang kelambu untuk mengelak rasa tidak selesa sebelum melihat banyak ulat ini di atas kelambu pada keesokannya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Kota Setar, Leftenan (PA) Mat Zain Baharom berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kehadiran serangga itu kelmarin pada jam 9.40 pagi dan tiba di lokasi jam 10.15 pagi.

Beliau berkata, tiga anggotanya bertindak menebang ranting kayu, dahan dan pokok yang diserang ulat berkenaan dan memusnahkannya dengan membakar di kawasan kampung berkenaan.

“Maklumat yang kita peroleh hanya membabitkan sebuah rumah di kampung itu, tetapi setakat ini belum menerima maklumat terbaru mengenai kehadiran ulat yang semakin banyak di kawasan itu.

“Bagaimanapun, kita akan bertindak segera sekiranya menerima maklumat baru daripada penduduk berkenaan dalam tempoh segera,” katanya.

Mat Zain bagaimanapun tidak dapat memastikan fenomena pelik itu dan dari mana ulat itu datang.

Disiarkan pada: November 28, 2016 @ 10:10am
d