mutakhir

Rezeki awal buka gerai

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Peniaga Karnival Jualan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yakin hasil pulangan jualan tetap memberangsangkan walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Norshaminla Zainoren, 27, yang menjual kain batik Kelantan berkata, jualan kali ini dijangkakan meningkat berikutan terdapat pelanggan yang sudah mula membeli walaupun perhimpunan agung belum bermula.

“Hari ini saya baru tiba dari Kelantan untuk membuka gerai jualan, tetapi sudahpun ada yang datang membeli.

“Saya harap itu petanda yang jualan akan lebih baik berbanding tahun sebelum ini,” katanya yang sudah lebih tiga kali berniaga sempena perhimpunan agung itu ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Peniaga produk kosmetik Ahmad Nazrin Zaharin, 32, berkata, dia menggunakan peluang berniaga di PWTC sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan jenamanya kepada orang ramai.

Menurutnya, produk Zeitlos diasaskannya setahun lalu sebelum ini dijual dalam talian melalui akaun Facebook Zeitlos HQ atau di www.zeitloshq.com.

“Peluang membuka gerai di Perhimpunan Agung UMNO ini adalah percubaan pertama kali kami memperkenalkan secara terus produk kosmetik kepada bakal pelanggan,” katanya.

Seorang lagi peniaga Muhammad Hakimi Mahdzir, 27, berkata, dia menjangkakan jualan pada tahun ini agak menurun berikutan peningkatan harga barangan.

Dia yang membuka gerai menjual pelbagai kerongsang sejak lebih 10 tahun lalu ketika berlangsung perhimpunan agung itu berkata, produk aksesori wanita tetap akan mendapat perhatian golongan wanita.

Karnival jualan yang sudah menjadi tradisi perhimpunan itu mula beroperasi semalam di Dewan Tun Razak 3 manakala pameran akan diadakan di ruang legar Putra, Aras 2 PWTC.

Perhimpunan Agung UMNO 2016 berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga Sabtu.

Disiarkan pada: November 29, 2016 @ 7:24am
d