mutakhir

Lubang 'ragut' 2 sepupu

Oleh Mustapha Ismail

Kota Tinggi: Dua sepupu masing-masing berusia satu dan 11 tahun maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai, di sini, kelmarin.

Kemalangan jam 5.30 petang itu dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaannya selepas terlanggar lubang di bahu kiri jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke rumah keluarga di FELDA Lok Heng Timur, dekat sini.

“Kereta Perodua Kancil dipandu Nursuhadah Ramli berusia 30 tahun yang juga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kempas hilang kawalan selepas terlanggar lubang di bahu kiri jalan.

“Akibatnya kenderaan dinaiki itu terbalik dan terhumban ke dalam kebun sawit menyebabkan dua penumpang, Muhammad Fakhri Aufa Muhamad Faidz, setahun dan Nur Natasya Nabiela Abdullah, 11, meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Rahmat berkata, seorang lagi anak Nursuhadah, Aleesya Nur Jasmin Abdullah, 5, cedera parah di kepala.

Katanya, Nurshuhadah yang turut cedera di kepala dan Aleesya Nur Jasmin dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 29, 2016 @ 7:42am
d