mutakhir

Nur Arissa dah mula senyum [METROTV]

Kuala Lumpur: Penderitaan bayi berusia 15 bulan yang melecur selepas terkena tumpahan minyak panas ketika berlaku perselisihan faham antara bapanya dan rakan sekerja mendapat perhatian Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia.

Pengurus persatuan itu Mohd Ashraff Khan Najib mengunjungi Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, bagi menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan termasuk susu dan lampin pakai buang kepada ibu bapa bayi malang itu, semalam.

Mohd Ashraff berkata, pihaknya terpanggil memberikan sumbangan selepas mengetahui insiden menimpa bayi itu menerusi akhbar ini, Khamis lalu.

“Kita sangat bersimpati dengan nasib bayi ini dengan usia masih kecil, tetapi sudah menanggung penderitaan teruk.

“Kita memberikan sumbangan ini selama tiga bulan terutama barangan keperluan bayi dan kemungkinan bantuan itu akan dilanjutkan tiga bulan lagi bergantung kepada keadaan keluarga terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Minggu lalu muka depan Harian Metro melaporkan kisah Nur Arissa Jannah Mohd Salim yang melecur 20 peratus pada tangan, kaki, bahu, muka dan lengan akibat terkena minyak panas digunakan bapanya Mohd Salim Nurali, 20, untuk menggoreng kentang di tempat kerja.

Insiden berlaku selepas tiga saudara kepada rakan Mohd Salim datang menyerangnya sebelum menendang kuali berisi penuh minyak panas sebelum minyak itu yang tertumpah terkena anak dan isterinya pada 14 November lalu.

Sementara itu, Mohd Salim berkata, dia bersyukur kerana ada pihak prihatin dengan kejadian menimpa keluarganya dan memberi sumbangan.

“Alhamdulillah, anak saya semakin sihat walaupun kesan melecur pada badannya belum pulih sepenuhnya.

“Paling gembira, Nur Arissa Jannah sudah mula tersenyum sejak tiga hari lalu dan senyuman itu dapat melenyapkan kesedihan saya,” katanya.

Katanya, dia dan isteri sudah tidak sabar untuk membawa anaknya pulang ke rumah dan berharap kehidupan mereka tetap ceria seperti sebelum kejadian itu.

Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0500341000025922 atas nama Nor Narissa Sofea.

Disiarkan pada: November 29, 2016 @ 7:55am
d