mutakhir

Ugut bom tiga agensi kerajaan

Kota Bharu: Disebabkan panggilan telefon mahu meletupkan bom oleh individu tidak bertanggungjawab, operasi tiga agensi kerajaan, di sini, tergendala lebih tiga jam bermula 9 pagi.

Agensi itu adalah Kompleks Mahkamah Kota Bharu, Mahkamah Syariah di Tunjong dan Pejabat Tanah dan Kalian, yang semuanya terletak di bandar ini.

Difahamkan, Balai Polis Kota Bharu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki jam 8.47 pagi yang memaklumkan sebuah kereta yang membawa bahan letupan akan melalui tiga pejabat kerajaan berkenaan.

Susulan itu, semua kakitangan dan pelawat yang berada di semua pejabat berkenaan diarah mengosongkan premis bagi memberi laluan pihak berkuasa melakukan siasatan.

Peniaga kantin Kompleks Mahkamah Kota Bharu, Hidayati Mohd Amran, 42, berkata, dia mengetahui kejadian itu jam 9.30 pagi selepas dimaklumkan kakitangan mahkamah.

“Saya segera keluar dari premis kerana bimbang sekiranya bom benar-benar ada.

“Kami hanya menunggu di luar mahkamah sebelum dibenarkan masuk semula jam 12.30 tengah hari selepas dipastikan tiada bom.

“Syukur tiada bahan letupan ditemui. Tak boleh dibayangkan jika benar-benar ada bom. Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas ke atas pemanggil itu,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, mengesahkan panggilan telefon mengugut meletupkan bom itu panggilan palsu.

Beliau berkata, pemanggil mendakwa sebuah kenderaan akan melalui di hadapan Kompleks Mahkamah (Kota Bharu dan Syariah) dan Pejabat Tanah dan Galian sebelum meletupkan bom.

Disiarkan pada: November 30, 2016 @ 6:25am
d