mutakhir

Air naik hingga paras lutut

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kajang: Hujan lebat yang berlaku mengakibatkan kawasan Jalan Reko dan kawasan Sungai Ramal Dalam di sini, ditenggelami banjir kilat sedalam lebih 0.3 meter.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk apabila laluan itu tidak boleh dilalui kereta dan motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi Azmel Kamarudin berkata, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan berhubung banjir kilat di Kampung Sungai Ramal Dalam, di sini, jam 5 petang semalam.

“Seramai enam anggota dan pegawai bomba bergegas ke lokasi. Air banjir naik sehingga ke paras lutut dan terdapat empat rumah penduduk dimasuki banjir,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, banjir mulai surut sekitar jam 7 malam semalam.

Katanya, kejadian hujan lebat turut mengakibatkan kejadian pokok tumbang yang menghalang jalan di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.

“Anggota bomba menggunakan gergaji untuk memotong dahan pokok serta membersihkan lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah kereta yang diparkir di hadapan perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur, remuk dihempap sebatang pokok akibat hujan lebat yang melanda awal pagi, semalam.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.30 pagi dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membersihkan lokasi.

Disiarkan pada: November 30, 2016 @ 6:29am
d