mutakhir

'Saya terharu'

Oleh Shamsul Munir Safini

Seberang Jaya: “Saya menangis bukan kerana sedih, namun terharu kerana polis begitu prihatin dengan nasib saya,” demikian kata Rabiaah Taib, 75, warga emas yang juga antara seorang daripada dua wanita ditikam penyamun, Sabtu lalu.

Dia terharu apabila empat pegawai dan lima anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) menziarahi mereka berdua di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, tengah hari semalam.

Dalam kunjungan jam 12 tengah hari itu, Timbalan Ketua Polis Daerah SPU Superintendan Abd Aziz Daud bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) SPU Deputi Superintendan Mohamad Shofee Tayib bersama pegawai dan anggotanya menziarahi kedua-dua mangsa.

Rabiaah berkata, keadaannya semakin pulih dan berehat di Wad 8 HSJ selepas menerima jahitan susulan kejadian itu, namun anak saudara perempuannya Nor Hayati Dolah, 39, perlu mendapatkan rawatan lanjut kerana lukanya parah.

Menurutnya, dia belum dapat melupakan kejadian tempoh hari sehingga ditenteramkan jururawat yang sentiasa menjaganya di HSJ.

Sementara itu, Abd Aziz berkata, pihaknya prihatin dengan nasib serta keadaan mangsa kejadian jenayah, malah di dalam kes berkenaan, Rabiaah dan Hayati ditikam penyamun hanya kerana RM40.

“Menurut doktor, keadaan kedua-duanya stabil dan Hayati perlu menjalani rawatan lanjut susulan kecederaan di tangan dan perut kanannya yang terkena tikaman suspek.

“Saya memberi jaminan kepada mereka bahawa individu yang melakukan perkara ini akan mendapat hukuman setimpal dengan apa dilakukan, malah kita sudah menahan suspek dan kes berkenaan masih disiasat,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2016 @ 6:30am
d