mutakhir

'Jatuh cinta' sebulan di Jepun

Kuala Lumpur: “Rasa tertekan bertukar kepada minat selepas sebulan berada di Jepun,” katanya pelajar cemerlang Program Pengajian Jepun Universiti Malaya (UM) Sharifah Norhasmalia Syed Jaafar Putra, 22.

Menurut Sharifah Norhasmalia, minatnya lebih cenderung ke arah pendidikan dan langsung tidak tahu mengenai pengajian bahasa di bawah Jabatan Pengajian Asia Timur.

“Pada mulanya berasa sangat berat dan sukar kerana kami bukan sahaja belajar bahasa Jepun yang asas, tetapi lebih menyeluruh kepada penggunaan bahasa itu sendiri.

“Bukan itu saja, di bawah jabatan itu kami juga mempelajari mengenai politik, ekonomi dan budaya sesebuah negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Yayasan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun-Malaysia (JACTIM) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Ken Jin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM Prof Datuk Dr Rohana Yusof, Pengerusi Pertukaran Budaya Antarabangsa (ICE) JACTIM Hajime Tokuda, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM Prof Dr Hanafi Hussin dan Ketua Jabatan Pengajian Asia Timur, Dr Asmadi Hassan.

Sharifah Norhasmalia berkata, walaupun Jepun terkenal dengan teknologi canggih tetapi pembelajaran dan penggunaan bahasa ketiga sangat penting kerana ia membuka lebih banyak peluang pada masa depan.

“Menerusi program ini juga, kami berpeluang ke negara itu sama ada sebulan, satu semester atau setahun.

“Saya juga baru pulang daripada negara matahari terbit itu pada Ogos baru-baru ini dan sekiranya berpeluang saya sangat mengimpikan melanjutkan pengajian di Universiti Yamaguchi atau Universiti Okayama,” kata pelajar tahun tiga program itu.

Sementara itu, Dr Rohana berkata, kini UM satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Jepun.

“Kami juga akan terus meningkatkan Pengajian Jepun serta melihat kejayaan itu sebagai penyumbang penting kepada kerjasama yang berterusan dan pembangunan kedua-dua negara,” katanya.

JACTIM menyerahkan RM60,000 kepada UM di bawah Program Pengajian Jepun yang membabitkan lima pelajar cemerlang dan enam pelajar tahun pertama program itu.

Disiarkan pada: November 30, 2016 @ 7:59am
d