mutakhir

Hujan lebat luar biasa dorong bah [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Chukai: Hujan lebat luar biasa hingga mencecah 265 mililiter (ml) kelmarin dikenal pasti sebagai punca banjir berlaku di beberapa kawasan kampung di Kemasik, di sini.

Pegawai Daerah Kemaman Rosman Roslan berkata, antara kampung yang terjejas ialah Kampung Kukuran, Kampung Rumah Murah, Kampung Kanan dan Kiri dan pekan Kemasik.

Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kijal juga mengalami kesan apabila kediaman penduduk turut dinaiki air.

Katanya, sejak petang kelmarin sebanyak tiga pusat pemindahan di daerah berkenaan dibuka untuk menempatkan penduduk selepas kediaman mereka terjejas.

“Segala persiapan sudah dilakukan sebelum ini dan tiada masalah untuk menempatkan mereka di pusat pemindahan berkenaan.

“Semuanya berjalan lancar dan segala keperluan kepada mangsa dapat disediakan mengikut perancangan supaya mereka itu berasa selesa berada di pusat pemindahan ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasik, pagi semalam.

Menurutnya, lebih 300 mangsa banjir ditempatkan di tiga pusat pemindahan yang dibuka di daerah berkenaan sejak kelmarin dan sebahagian besarnya berada di SMK Badrul Alam Shah.

Semua pusat pemindahan iaitu SMK Badrul Alam Shah, Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kalong dan Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Titian Berayun sudah ditutup jam 6 petang semalam dan mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Rosman berkata, kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi kontraktornya juga sudah mengambil tindakan membersih sampah yang tersumbat di longkang besar Kampung Baru Kemasik.

Katanya, tindakan itu diambil bagi membolehkan aliran air terutamanya jika hujan lebat kembali melanda akan membolehkannya mengalir dengan baik dan tidak menjejaskan kawasan berdekatan.

Disiarkan pada: December 1, 2016 @ 10:21am
d