mutakhir

Berarak ke mahkamah

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Hampir 100 penduduk Orang Asli dari beberapa kampung termasuk ahli keluarga 47 orang yang ditangkap dalam operasi Jabatan Perhutanan Kelantan berarak dan berkumpul di hadapan Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Mereka mula berarak dari hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang ke mahkamah itu jam 9 pagi bagi menunjukkan bantahan terhadap Orang Asli yang ditahan dalam operasi itu di Hutan Simpan Balah, kelmarin.

Seramai 47 penduduk Orang Asli berusia antara 18 hingga 40 tahun yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Majistret untuk direman antara dua dan tiga hari bagi membantu siasatan berada dalam Hutan Simpan Balah tanpa kebenaran bermula semalam.

Permohonan reman itu dibuat Jabatan Perhutanan Kelantan untuk disiasat mengikut Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh dan menduduki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Isteri penduduk yang ditahan, Ropiah Auo, 26, berkata, suaminya tidak melakukan sebarang kesalahan dan patut dibebas tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Ahli keluarga amat sedih dengan tindakan yang diambil pihak terbabit dan penduduk Orang Asli membina sekatan itu kerana menuntut tanah adat daripada dimusnah aktiviti pembalakan.

“Kami mahu pihak terbabit menilai secara adil dan kami semua menyokong tindakan memasang sekatan jalan balak untuk mengelak terus musnah,” katanya.

Penduduk, Risal Harun, 25, berkata, dia mengikuti perarakan itu untuk mempertahankan adiknya yang ditahan dalam operasi meruntuhkan sekatan di Pos Bihai kelmarin.

“Kita tidak ganggu atau kacau orang, tetapi apa yang kita sama-sama lakukan itu bagi mempertahankan tuntutan hak kami untuk masa depan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Jabatan Perhutanan Kelantan menjalankan operasi meruntuhkan dua sekatan di Kampung Simpang Petei dan Pos Bihai yang dibina Orang Asli sejak September lalu untuk menyekat daripada balak dibawa keluar.

Dalam operasi selama tujuh jam membabitkan 210 pegawai dan anggota pihak berkuasa diketuai Jabatan Perhutanan Kelantan itu lebih 35 pondok diruntuhkan kerana melakukan kesalahan melakukan aktiviti dan pendudukan di hutan simpan tanpa kebenaran.

Operasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang kekerasan berikutan Orang Asli memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Disiarkan pada: December 1, 2016 @ 10:23am
d