mutakhir

Rumah Pak Lah siap 3 minggu

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Selepas kisahnya menjadi viral dan disiarkan di akhbar, nasib Abdullah Mat Jusoh, 78, atau Pak Lah yang tinggal di bawah Jambatan Selising-Tok Bok, Machang dekat Kampung Sungai Durian, Pasir Puteh terbela apabila pelbagai bantuan yang diterima termasuk pembinaan sebuah rumah.

Pengasas Badan Bukan Kerajaan (NGO) The Third Force, Raja Shamri Raja Husin berkata, pihaknya bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini sedang membina sebuah rumah kepada warga emas itu yang bernilai RM20,000.

Katanya, pembinaan rumah bermula sejak tiga hari lalu dan dijangka siap dalam tempoh tiga minggu.

“Rumah ini dibina berdekatan kediaman anak saudaranya di kampung sama dilengkapi bilik air, bilik tidur dan pelbagai kemudahan untuk memastikan Pak Lah selesa untuk bergerak.

“Alhamdulillah, kesihatan Pak Lah semakin baik dan sudah boleh berjalan dalam jarak dekat saja. Saya yakin jika ahli keluarga dan masyarakat terus memberi sokongan, kesihatan Pak Lah akan menjadi lebih baik,” katanya.

Menurutnya, selain membina rumah, pihaknya juga membawa warga emas itu ke hospital kelmarin, untuk pemeriksaan kesihatan.

Katanya, warga emas itu tidak mempunyai sebarang penyakit dan perlu mendapat sokongan daripada semua pihak untuk meneruskan kehidupan.

Disiarkan pada: December 1, 2016 @ 10:38am
d