mutakhir

Pamer jubah Nabi Adam

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Replika jubah Nabi Adam adalah antara tarikan utama pengunjung ke Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam Antarabangsa (PIIACUF) 2016 yang berlangsung mulai hari ini hingga 11 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Naib Presiden Perkhidmatan Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Rogaizat Abdullah berkata, pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Restu untuk menyiapkan replika terbabit bagi memberi peluang kepada pengunjung mengenali manusia pertama yang diturunkan di dunia itu.

Katanya, replika jubah itu berukuran 29 meter labuh dan sembilan meter panjang.

“Ia disiapkan selama 10 hari dengan menggunakan empat kakitangan Yayasan Restu menggunakan 480 meter (m) kain dan 2,000m benang.

“Replika ini hanya simbolik kepada ketinggian Nabi Adam berdasarkan daripada hadith yang mengatakan perbandingan Nabi Adam mencecah sehingga 18 kali ganda dari manusia sekarang,” katanya ketika ditemui media selepas melihat persiapan akhir sempena PIIACUF 2016 di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah.

Katanya, festival itu mendedahkan masyarakat mengenai pelbagai jenis pakaian, jahitan, tenunan dan perhiasan yang dipamerkan kepada pengunjung menerusi tema Kegemilangan Tekstil Dunia Islam.

“Bukan itu sahaja, pelbagai pameran kesenian yang akan ditampilkan dari beberapa negara lain sebagai satu usaha untuk mengangkat martabat dan tamadun umat Islam seluruh dunia selain pelbagai aktiviti sampingan.

“Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan bas perantara Nadi Putra yang beroperasi setiap 30 minit bagi memudahkan pengunjung untuk hadir ke festival ini,” katanya.

Menurutnya, persediaan pameran kali ini dirancang rapi bagi memberi kepuasan kepada pengunjung dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti kaligrafi, gerai pameran dan jualan, forum, klinik Al Quran, demonstrasi khat dan selawat bersama Habib Syech Assegaf.

“Lokasi penganjuran kali ini berbeza iaitu di PICC bagi memberi ruang lebih selesa kepada pengunjung termasuk pertambahan penyertaan dan pameran daripada pelbagai agensi.

“Orang ramai boleh mengunjungi festival ini mulai esok (hari ini) bermula jam 9 pagi hingga 11 malam secara percuma untuk melihat sendiri keunikan dan kesenian Islam yang dipamerkan di sini,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2016 @ 10:51am
d