mutakhir

Perompak panik lari lintang-pukang

Bangi: Sekumpulan lima perompak lintang-pukang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran angggota polis ketika cuba merompak pengurus syarikat yang membawa wang RM185,000.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, kenderaan dinaiki mangsa wanita berusia 62 tahun diekori sebelum dihimpit dua kenderaan suspek ketika tiba di hadapan stesen minyak di Seksyen 15, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, mangsa yang juga pengurus syarikat pembersihan dikatakan baru mengeluarkan wang itu dari bank sebelum cuba dirompak.

Menurutnya, unit peronda polis (MPV) yang kebetulan berada di lokasi kejadian sempat melihat tindakan ganas penjenayah cuba merompak mangsa bersenjatakan parang.

“Akibatnya lima penjenayah itu panik dan melarikan sebelum sempat merampas wang mangsa.

“Semua suspek melarikan diri menggunakan kereta dengan meninggalkan kenderaan pacuan empat roda dan kereta Proton Persona digunakan untuk merompak mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa disoal siasat mendakwa baru mengeluarkan wang RM185,000 dari sebuah bank di bandar ini untuk membayar gaji pekerjanya.

“Suspek menggunakan tiga kenderaan iaitu Toyota Hilux, Proton Persona dan sebuah lagi kenderaan tidak dikenal pasti kerana digunakan untuk melarikan diri.

“Ketika tiba di lokasi, suspek menghimpit kereta dinaiki mangsa menyebabkan Toyota Hilux dan Proton Persona dinaiki suspek terbabas ke atas pembahagi jalan dan laluan pejalan kaki,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berdasarkan siasatan kedua-dua kenderaan itu dilaporkan hilang di Seremban, Negeri Sembilan dan Kajang.

Difahamkan suspek yang memandu Proton Persona sempat melanggar seorang penunggang motosikal sebelum keluar dari kenderaan dan berlari ke arah kereta digunakan untuk melarikan diri.

Othman berkata, berdasarkan bukti dan keterangan saksi, pihaknya memburu semua suspek dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 2, 2016 @ 7:02am
d