mutakhir

Mencari bawah runtuhan [METROTV]

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Usaha mencari mangsa terakhir runtuhan jejantas konkrit KL Eco City, Kampung Haji Abdullah Hukum, Bangsar di sini, dilakukan sejak 3.30 petang kelmarin dihentikan selepas mangsa didapati tidak wujud.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu ditamatkan selepas pasukan penyelamat mengesahkan hanya seorang mangsa maut manakala lima yang lain parah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Ruhisha Haris berkata, 68 anggota penyelamat terbabit dalam operasi SAR bermula jam 8 pagi semalam.

“Operasi dibahagikan kepada tiga sektor membabitkan pelbagai agensi diketuai Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) bagi mempercepatkan usaha pencarian.

“Selepas operasi dijalankan bersama unit anjing pengesan (K-9) pihak kami yakin dan berpuas hati tiada lagi mangsa terperangkap di bawah runtuhan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Agensi lain yang turut membantu dalam operasi SAR termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ruhisha, dua anjing pengesan K-9 digunakan dalam operasi itu tidak menunjukkan petanda atau mengesan mangsa yang kemungkinan masih berada di bawah runtuhan jejambat itu.

“Sehubungan itu, pihak kami secara rasmi menutup sepenuhnya operasi SAR di lokasi ini jam 11 pagi (semalam).

“Bagaimanapun anggota bomba tetap bersiap sedia di lokasi sekiranya kerja pembersihan dijalankan pihak pemaju atau kontraktor ada menemui mayat selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya membantu mengangkat mayat sebelum diserahkan kepada polis.

“Maklumat mengatakan terdapat seorang mangsa berada di bawah runtuhan itu diperoleh daripada seorang pekerja.

“Namun, ketika kejadian dia berada agak jauh dari lokasi. Dia mendakwa jejambat konkrit itu runtuh lima minit selepas dia meninggalkan lokasi untuk pergi ke kawasan rehat,” katanya.

Katanya, pihak pemaju juga membuat kiraan ke atas pekerja dan mendakwa seorang pekerja hilang.

“Bagaimanapun, ketika pihak kami meminta nama pekerja yang hilang, mereka tidak dapat mengemukakannya.

“Pihak kami juga tidak menolak kemungkinan terdapat mangsa jatuh ke dalam sungai berhampiran,” katanya.

Sehingga semalam, hanya enam mangsa terbabit iaitu seorang daripada mereka maut manakala dua mangsa kritikal, seorang parah di kaki, seorang dilaporkan stabil, manakala seorang lagi cedera ringan.

Disiarkan pada: December 2, 2016 @ 7:11am
d