mutakhir

Penjenayah tersungkur [METROTV]

Oleh Alias Abd Rani dan Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Lapan das tembakan dilepaskan penjenayah dibalas empat das oleh polis. Kesudahannya, dua penjenayah yang dikehendaki kerana terbabit dengan beberapa siri rompakan mati dalam kejadian berbalas tembakan itu di Jalan Setul-Broga, dekat Lenggeng, Nilai, jam 10 malam, kelmarin.

Dua penjenayah terbabit belum dikenal pasti identiti dan seorang daripada mereka melepaskan lapan das tembakan ke arah polis ketika mereka dikejar bermula di pekan Mantin hingga ke jalan Lenggeng.

Untuk rekod, kedua-dua penjenayah terbabit disyaki ahli geng yang aktif melakukan pelbagai jenayah terancang seperti samun dan pecah rumah di seluruh negara.

Susulan empat kes samun di Nilai membabitkan kerugian RM83,000, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan ditubuhkan bagi memburu penjenayah terbabit.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, pada operasi dijalankan, pihaknya mengesan Honda Accord yang menggunakan nombor pendaftaran palsu di Jalan Seremban-Mantin jam 9.30 malam.

Menurutnya, pihaknya mengarahkan kereta dinaiki dua lelaki itu berhenti untuk pemeriksaan namun suspek memecut ke arah Jalan Setul-Broga sebelum suspek melepaskan empat das tembakan ke arah polis yang mengejar mereka enam kilometer.

“Tiba di lokasi, Honda Accord terbabit terbabas ketika melalui selekoh. Penumpang depan keluar dan melepaskan empat das tembakan manakala pemandunya yang bersenjatakan parang melibas ke arah anggota kami.

“Demi keselamatan, anggota kami melepaskan empat das tembakan ke arah mereka menyebabkan kedua-duanya mati di lokasi,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan, semalam.

Menurut Jaafar, pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada kedua-dua suspek, tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka rakyat tempatan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui pelbagai senjata seperti parang dan peralatan termasuk gari dalam kereta suspek.

Disiarkan pada: December 2, 2016 @ 7:36am
d