mutakhir

Tarikan istimewa Kafeteria RM5

Oleh Mazizul Dani

Kuala Lumpur: Set kombo makanan dan minuman dijual pada harga RM5 saja!

Itu antara tarikan istimewa Kafeteria RM5 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016.

Chef Eksekutif PWTC Suzaini Mohamed Salleh berkata, dengan harga RM5, pelbagai menu disediakan kepada pengunjung.

“Kalau nasi campur tu, kita ada ayam, sayur dan sebagainya dengan nasi putih hanya RM5. Kalau di luar memang takkan dapat dengan harga sebegini.

“Kita kenalkan kafe ini untuk beri perkhidmatan kepada pengunjung supaya ada tempat makan dalam bangunan sama.

“Kualiti tidak boleh dikompromi. Walaupun harga murah tapi kualiti tetap sama tak ada ‘short cut’. Itu yang penting,” katanya.

Kafeteria yang pertama kali diperkenalkan pada PAU tahun ini terletak di aras 4 PWTC.

Selain nasi campur, menu lain yang dijual ialah burger, hotdog, sandwich dan roti canai.

Suzaini berkata, setakat ini pendapatan kafe yang dibuka dari jam 7 pagi hingga 9 malam sudah mencecah RM50,000 dan menyasarkan pendapatan lebih RM200,000 sehingga hari terakhir PAU 2016, esok.

Sementara itu, pengunjung menganggap kewujudan kafeteria itu memudahkan urusan mereka.

“Pada saya ia mudah, cepat dan senang. Senang saja naik ke sini untuk makan dengan harga berpatutan,” kata Jumaida Nasir, 43, perwakilan dari Sabah.

Peniaga Norasyazwani Ismail, 24, berkata, kafeteria itu selesa dengan ruang makan luas.

“Ia memudahkan perwakilan dan tak perlu beli makan di luar, tak perlu beratus panjang. Paling ‘best’ dia ada kombo set RM5 saja,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2016 @ 5:26am
d