mutakhir

Himpunan semangat selamatkan Rohingya

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Lebih 100 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman dalam menzahirkan bantahan terhadap kekejaman dideritai etnik Rohingya di pekarangan Masjid Sultan Idris Shah II, di sini, semalam

Antara NGO terbabit ialah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Perak, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Mereka melaungkan perkataan sambil memegang sepanduk bertulis ‘selamatkan Rohingya’, ‘Stop air strike on Rohingya’ dan ‘save Rohingya.

Timbalan Yang Dipertua IKRAM Perak Mohd Fahmy Sarangat berkata, pihaknya meminta rakyat terus memberikan sokongan yang padu kepada etnik Rohingya daripada semua aspek termasuk kebajikan dan kewangan supaya mereka boleh terus hidup.

“Rakyat seluruh negara perlu bekerjasama dengan mereka dalam isu konteks kemanusiaan agar masyarakat Rohingya tidak bersendirian dalam isu ini,” katanya.

Mohd Fahmy berkata, pihaknya bersetuju kerajaan Malaysia menunjukkan sikap serius dan tegas dalam menangani isu kekejaman dialami etnik di negara jiran itu yang sudah lama berpanjangan.

Disiarkan pada: December 3, 2016 @ 5:29am
d