mutakhir

Pertimbang cadangan

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempertimbangkan cadangan menempatkan lelaki dalam kumpulan penguat kuasa wanita atau meminta mereka melaporkan kepada pejabat cawangan terdekat sebelum menjalankan tugas di kawasan ditetapkan.

Ia bertujuan mengelak kejadian buli membabitkan penguat kuasa wanita oleh orang awam berulang susulan insiden penguat kuasa wanita MBSA dikasari sepasang suami isteri di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha MBSA Rosli Bakar berkata, pihaknya sedang memikirkan kaedah terbaik bagi mengelak perkara itu walaupun latihan untuk berhadapan orang awam sudah diberikan oleh MBSA.

“Sebelum ini, kita biasa mendengar anggota penguat kuasa diherdik secara lisan selepas mereka mengeluarkan kompaun atau menarik kenderaan. Namun ini kes pertama membabitkan kekasaran secara fizikal.

“Saya tidak menjangka kejadian itu akan menjejaskan perasaan mereka (anggota penguat kuasa) kerana mereka sudah diberi latihan dan turut mempelajari cara mengatasi masalah dengan orang awam, ” katanya selepas majlis Ramah Mesra Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Selangor Dr Daroyah Alwi bersama pegawai penguat kuasa wanita MBSA itu di sini, semalam.

Kunjungan itu bertujuan menyuntik semangat tiga penguat kuasa wanita MBSA yang terbabit dalam insiden dikasari oleh pasangan suami isteri di tempat letak kereta.

Dalam pada itu Rosli turut memuji sikap anggota penguat kuasa wanita berkenaan yang dilihat sabar dan bijak berhadapan situasi berkenaan.

“MBSA mempunyai 35 anggota penguat kuasa berbaju putih yang bertanggungjawab menguruskan trafik manakala 65 berbaju biru tua pula menjalankan tugas umum seperti operasi dan tugasan lainm” katanya.

Sementara itu, Daroyah berkata, orang ramai dinasihatkan tidak bertindak kasar terhadap penjawat awam yang sedang melaksanakan tugas mereka.

“Orang awam perlu berfikir kesannya sebelum bertindak sedemikian. Jangan hanya kerana kompaun sebanyak RM10 atau bayaran parking sebanyak RM0.40, mereka sanggup berkasar terhadap anggota penguat kuasa, ” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2016 @ 5:31am
d