mutakhir

'Bukan niat menghina'

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: “Kami tidak sangka perkara ini boleh berlaku. Alas kaki itu dibeli secara terus dari kilang di Semarang Tengah, Indonesia. Kami hanya menerima dan jual kepada pelanggan.

“Perniagaan ini milik keluarga dan kami tidak berniat menghina agama Islam,” kata pemborong pelbagai jenis barangan kegunaan harian, mengenai isu pelapik dalam alas kaki menggunakan keratan kertas mengandungi ayat al-Quran dijual di pasar rayanya.

Pemilik berusia 60 tahun yang enggan nama disiarkan berkata, alas kaki itu dipesan ketika dia dan ahli keluarganya melawat wilayah terbabit November tahun lalu.

“Di kilang itu, saya sangka pembuatannya sama seperti di tempat kita (Malaysia) iaitu menggunakan perca kain sepenuhnya, malah kami juga hanya melihat luaran bukan proses pembuatan.

“Kami menempah 25,000 alas kaki bernilai RM25,000 sebelum ia dimuatkan dalam kontena untuk dihantar ke Malaysia,” katanya di Pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Bukit Palah, semalam.

Menurutnya, selepas isu itu diviralkan, pihaknya dihubungi pelanggan iaitu pengurusan pasar raya sebelum didatangi sepasukan pegawai JAIM yang menjalankan siasatan kes itu.

“Saya mohon maaf kepada orang Islam. Ustaz (Ketua Bahagian Penguat Kuasa JAIM Rahimin Bani) sudah ceritakan kepada saya mengenai perbezaan antara tulisan jawi dan ayat al-Quran. Selepas ini, kami tidak memesan produk ini dari Indonesia lagi.

“Selain itu saya harap orang ramai yang masih memviralkan isu hingga timbul ugutan terhadap kami, memahami situasi yang dihadapi,” katanya.

Sementara itu, pengurusan pasar raya yang memasarkan alas kaki berkenaan mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebook (FB) rasminya iaitu ECO Shop Malaysia.

Dalam kenyataan itu menyebut syarikat pemborong yang membekalkan alas kaki mengandungi ayat al-Quran itu memesan produk berkenaan secara terus dari Indonesia.

“Bagaimanapun, ECO Shop amat memahami kepentingan bertanggungjawab dalam sektor sosial dan memainkan peranan penting membawa barangan terbaik kepada semua pelanggan.

“Kami di sini mewakili semua anggota ECO Shop Sdn Bhd, meminta maaf akan kelalaian terhadap kejadian ini. Sekali lagi kesulitan amat dikesali.

“Pelanggan yang membeli alas kaki daripada kedai kami dengan sukarela kami membenarkan pertukaran kepada produk lain dalam tempoh tiga hari sehingga 3 Disember 2016 (resit pembelian harus disertakan untuk membuat pertukaran),” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2016 @ 6:07am
d