mutakhir

Cinta 36 arnab

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Demi minat, seorang penasihat guaman tidak kisah berhabis ribuan ringgit untuk memelihara 36 arnab yang dibelinya dari Amerika Syarikat dengan harga RM1,300 hingga RM4,800 seekor.

Farah Abdullah, 31, berkata, dia membeli arnab pelbagai baka itu sejak tiga tahun lalu antaranya jenis Californian, Flemish Giant, English Lop dan French Lop.

“Walaupun sukar dan mencabar dalam memelihara semua 36 arnab, tetapi saya akan usahakan untuk bersama mereka sekurang-kurangnya tujuh jam sehari,” katanya yang turut mempunyai dua pembantu bagi menguruskan penjagaan arnab peliharaannya.

Dia ditemui di Pameran Arnab dan Tikus Belanda Kebangsaan di Perling Mall, di sini, semalam.

Untuk majlis itu, Farah sanggup datang dari Kuala Lumpur dengan membawa 16 daripada 36 arnabnya menaiki van.

Menurutnya, walaupun mendiami rumah jenis pangsapuri di Kuala Lumpur, semua arnabnya diletakkan di satu bilik khas bagi membolehkan ia dijaga dengan sempurna.

“Saya memperuntukkan hingga RM2,000 sebulan untuk semua arnab ini sebagai kos membeli makanan dan penyelenggaraan termasuk memasang penyaman udara khusus memberikan keselesaan kepada arnab itu.

“Setiap hari, saya mesti habiskan masa bersama arnab saya termasuk memberi makan serta membersihkannya dan akan terasa ganjil sekiranya tidak berbuat demikian,” katanya memberitahu baka jenis Californian adalah arnab termahal dibelinya kira-kira RM4,800 seekor.

Dalam pada itu, 154 arnab dan 60 tikus belanda dari pelbagai baka dipertandingkan dalam program berkenaan yang dianjurkan Persatuan Pemilik Arnab dan Marmot Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penternak Arnab Malaysia.

Pengerusi Persatuan Pemilik Arnab dan Marmot Malaysia Mohd Isa Mohd Jainury berkata, sambutan di negeri ini sangat menggalakkan kerana disertai 154 arnab dari 33 peserta dengan 20 baka dipertandingkan.

“Tujuan kami mengadakan pameran ini bagi mendidik pemilik arnab berkongsi cara penjagaan bulu, pemakanan dan kesihatan haiwan kesayangan mereka bersama juri khas berkaitan arnab dan tikus belanda dari Amerika Syarikat, Travis Finkle,” katanya.

Menurut Mohd Isa, selain arnab, 19 pemilik tikus belanda atau lebih dikenali dengan panggilan Wonder Pet dalam kalangan kanak-kanak turut menyertai pameran yang berlangsung selama dua hari.

Disiarkan pada: December 4, 2016 @ 5:05am
d