mutakhir

Jenazah tiba esok

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Jenazah Allahyarham Syed Redzuan Syed Salim Shatri, pendaki Malaysia yang maut di Gunung Damavand, Iran dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) esok.

Ketua Ekspedisi Rozaimi Mohd Said berkata, jenazah akan diterbangkan dari Tehran, Iran pada Ahad jam 10 malam dan dijangka tiba di KLIA tengah hari esok.

“Jenazah Allahyarham selamat dimandi dan dikafankan hari ini (semalam).

“Sebaik tiba di Malaysia akan terus dibawa ke Masjid Bandar Tun Hussein Onn untuk sembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mayat Syed Redzuan, 50, ditemui di Yakhar Glacier pada jam 12.45 tengah hari waktu tempatan (jam 5.45 petang) selepas enam hari dilaporkan hilang.

Allahyarham bersama rakannya, Ramli Abdul Majid, 44, hilang ketika berada pada ketinggian 4,200 meter di Gunung Damavand pada 20 November lalu.

Sementara itu, Rozaimi berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam mengulangi komitmen mereka untuk mencari Ramli.

“Namun buat masa ini, cuaca buruk menghalang mereka daripada meneruskan misi dan pencarian akan diteruskan jika cuaca bertambah baik.

“Teruskan berdoa supaya Ramli segera ditemui dengan selamat,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2016 @ 5:57am
d