mutakhir

Restoran gamit nostalgia

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Meminati lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee mendorong peniaga roti John di Jalan Tun Seri Lanang di sini, menghias premisnya dengan lebih 200 gambar dan potret Seniman Agung negara itu.

Pelanggan yang melangkah masuk ke kedai Seri Erra Roti John, milik Abd Latif Ahmad, 56, pasti teruja dengan koleksi gambar dan potret Seniman Agung negara selain seniwati Saloma dan keratan akhbar mengisahkan mengenai kejayaan atau kehidupan pasangan seni itu.

Lebih istimewa, ada antara gambar menjadi koleksi Abd Latif dianggap sebagai eksklusif kerana diperoleh peniaga itu ketika aktif dalam lakonan di Studio Jalan Ampas, Singapura dan Studio Merdeka, Ulu Klang, Selangor.

Antara gambar Seniman Agung itu yang dianggap istimewa bagi Abd Latif adalah memek muka P Ramlee yang memakai songkok sedang menikmati jus oren dan ketika sedang melangkah keluar dari kapal terbang selepas pulang dari luar negara.

Gambar eksklusif itu turut menarik perhatian peminat Seniman Agung negara berkenaan yang berkunjung ke kedai Abd Latif hingga ada yang berminat membelinya pada harga tinggi.

“Saya tidak jual gambar ini, semuanya koleksi peribadi, jika suka datang ke kedai ini sambil makan atau minum boleh lihat pelbagai gelagat Allahyarham P Ramlee yang saya pamerkan.

“Semua gambar ini diperoleh daripada jurugambar Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia sekitar 1990. Koleksi ini saya simpan dengan baik walaupun gambar berkenaan pada asalnya kecil dan ada juga sudah lusuh,” katanya.

Selain itu dia, turut mempamerkan gambar dan poster kumpulan muzik popular era 80-an seperti Orkestra Nirwana bersama Datuk A Rahman Hasan dan Azizah Muhamad, A Ramlie & The Rythmn Boys, The Bateks dan The Terwellos.

Lebih menarik, pelanggan akan dihidangkan dengan lagu-lagu era 50-an menerusi dendangan Allahyarham R Azmi, selain lagu era 60-an dan era 70-an membabitkan penyanyi tempatan dan luar negara.

Pelanggan, Sharif Kulok, 54, dari Alor Gajah berkata, kelainan kedai berkenaan yang dihiasi dengan gambar koleksi seniman agung serta wajah pelakon lama termasuk Allahyarham Ibrahim Pendek, Mahmud Jun dan Husin Abu Hassan mengimbau sejarah kegemilangan mereka dalam dunia perfileman Melayu.

Disiarkan pada: December 5, 2016 @ 8:05am
d