mutakhir

Ubah fakta buku sejarah

Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kepincangan fakta di dalam buku teks sejarah yang digunapakai dalam pembelajaran sekolah perlu diteliti semula sekali gus diperbetulkan supaya catatan sejarah sebenar dapat disampaikan kepada generasi muda.

Catatan sejarah Melaka kononnya empayar itu tumpas ketika menentang Portugis akibat kemunduran teknologi serta organisasi tentera yang tidak berstruktur satu pendapat salah.

Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Muhammad Pauzi Abdul Latif menegaskan penggubal buku teks perlu melaksanakan kajian yang lebih mendalam supaya fakta yang tertulis adalah hakikat sebenar.

“Berdasarkan pemerhatian saya, kita sering menyebut faktor kekalahan Melaka adalah kemunduran teknologi dan tentera tidak berstruktur. Tetapi kita kurang memberi penekanan berhubung pengkhianatan daripada pedagang dari China dan India.

“Kenyataan yang tertulis di dalam buku teks berkenaan adalah tidak benar. Melaka mempunyai organisasi tentera sistematik serta kecanggihan persenjataan zaman itu.

“Ketika serangan 1511, kita sudah mempunyai teknologi busur silang (Crossbow), ini adalah fakta yang tertulis dalam catatan Portugis. Ini jelas memperlihatkan kemampuan Melaka ketika itu melebihi Portugis,” katanya.

Kelmarin, Metro Ahad menerusi laporan khas infografik memaparkan kecanggihan senjata api sudah wujud pada zaman Melaka terutamanya ketika serangan Portugis 1511.

Ia dibuktikan menerusi catatan seorang ahli sejarah Portugis, Joao de Barros yang menjumpai 8,000 senjata api, panah silang dan artileri ketika Portugis menawan Melaka.

Muhammad Pauzi berkata, beliau turut melihat sendiri fakta yang dinyatakan di dalam buku teks itu dan mencadangkan penelitian semula perlu dilaksanakan.

“Fakta sejarah tidak boleh berdasarkan andaian semata-mata. Sejarah adalah fakta. Kepincangan fakta di dalam buku teks itu perlu diperbetulkan.

“Penggubal buku teks perlu lebih berani dalam membicarakan soal fakta, biarpun kadangkala ia menyentuh sensitiviti masyarakat,” katanya.

Namun, ini adalah fakta, sejarah tetap sejarah,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2016 @ 8:45am
d