mutakhir

Rezeki dari pelepah sawit

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Pelepah sawit kebiasaannya dibuang atau dibakar bagi mengelak ladang menjadi semak namun tidak bagi Mohamad Shaharudin Noordin, 53, apabila bahan itu diproses sebagai makanan ternakan sekali gus menjana pendapatan lumayan.

Pengarah Urusan Kamuda Bio Agro Tech Sdn Bhd itu hanya perlu mengutip pelepah dibuang di ladang sawit yang kemudian diproses untuk dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, biri-biri dan rusa.

Mohamad Shaharudin berkata, dia beruntung apabila pihak pengurusan ladang milik FELDA memberi kebenaran mengambil pelepah secara percuma sekali gus membersihkan ladang daripada timbunan bahan berkenaan.

“Kilang membuat makanan terletak di Kampung Jawa, Serting Tengah dan berhampiran ladang sawit memudahkan saya mendapat bahan mentah itu.

“Pada awalnya kami hanya mengambil pelepah dari kawasan seluas 200 hektar sebelum meningkat kepada 2,400 hektar selepas FELDA melihat ia antara jalan penyelesaian kepada masalah tikus yang bersarang bawah timbunan itu,” katanya yang memulakan perniagaan itu sebaik menamatkan kerjaya sebagai akauntan di sebuah bank di ibu negara pada 2000.

Katanya, syarikat mengeluarkan belanja sendiri untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai daun sawit sebelum mengeluarkan secara komersial sebaik kilang ditubuhkan.

“Sumber protein lain perlu dimasukkan ketika memproses pelepah sawit antaranya menggunakan tahi gula, hampas soya dan dedak beras mengikut sukatan dan berbeza mengikut kategori haiwan ternakan.

“Pelepah kering dikisar terlebih dulu sehingga menjadi serbuk halus sebelum proses mencampur adunan menggunakan mesin pengadun.

“Campuran bahan lain seperti hampas kacang soya berbeza mengikut haiwan ternakan sebagai contoh untuk kambing dan biri-biri, ia memerlukan antara 10 hingga 12 peratus berbanding bagi lembu antara 42 hingga 48 peratus,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, kilangnya hanya mampu mengeluarkan tujuh tan sehari namun permintaan melebihi 20 tan menyebabkan dia terpaksa menolak permintaan pelanggan yang mahu mendapatkan makanan berkenaan.

“Pada awal penyelidikan, ramai beranggapan usaha menghasilkan makanan daripada pelepah sawit sebagai perbuatan sia-sia malah tidak mendapat tempat disebabkan sumber berkenaan mudah diperoleh.

“Alhamdulillah, produk makanan dihasilkan mendapat sambutan malah saya perlu memastikan pelanggan datang membeli makanan haiwan berkenaan supaya membuat tempahan terlebih dulu bagi memastikan tidak pulang tangan kosong,” katanya.

Menurutnya, dia berharap usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang dapat dilakukan dengan pembelian mesin baru namun memerlukan modal besar selain berdepan masalah pembiayaan bank.

Disiarkan pada: December 6, 2016 @ 9:39am
d