mutakhir

5,000kg mercun dirampas [METROTV]

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Permintaan tinggi terhadap mercun menjelang Hari Krismas dan Tahun Baru Cina menyebabkan aktiviti penyeludupan barang larangan itu kembali aktif di negeri ini.

Pelbagai taktik dan teknik yang digunakan penyeludup, namun ia berjaya dihidu anggota penguatkuasa termasuk Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang menumpaskan cubaan seludup 250 kotak mercun dan bunga api seberat 5,000 kilogram, semalam.

Sepasukan lima penguatkuasa AKSEM Kelantan melakukan serbuan di kawasan tanah lapang di Kampung Jebak Puyuh, Lemal, Pasir Mas kira-kira jam 11.30 pagi dan menemui sebuah lori jenis HICOM Perkasa yang berisi muatan bahan itu dianggarkan bernilai RM 250,000.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menjalankan risikan selama beberapa hari di kawasan yang dikenal pasti berdasarkan maklumat orang awam.

“Mercun yang disembunyikan di dalam lori jenis HICOM Perkasa itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand ketika pihak berkuasa sibuk dengan persiapan banjir.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita dapati kotak mercun terbabit disembunyikan di sebalik susunan 25 guni berisi botol kaca kosong sebagai salah satu taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Semua mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai untuk pasaran luar Kelantan sempena perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media di pejabat AKSEM negeri, di sini, semalam.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Sepanjang tahun ini, AKSEM negeri berjaya menumpaskan lebih 10 kes penyeludupan mercun dan bunga api yang membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM864,378,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2016 @ 9:47am
d