mutakhir

Hantar representasi kes dadah dalam cecair perisa vape

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Seorang bekas guru dan bekas tentera yang berdepan dengan kes dadah di dalam cecair perisa rokok elektronik atau vape bakal menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pendakwaan dikenakan terhadap mereka.

Azhariza Zakaria, 40, dan Zaki Mohd Ali, 35, masing-masing diwakili peguam mereka, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid serta Mohd Hazrin Alif Wahab memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Wong Teck Meng selepas menerima dokumen daripada pihak pendakwaan.

Sebelum itu, pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Johari memaklumkan berdasarkan analisa laporan kimia dari Jabatan Kimia Malaysia mendapati ada 150 mililiter (ml) dadah jenis Delta 9-Tetrathydrocannabinol di dalam empat botol kaca.

Mahkamah menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh keputusan representasi selepas membenarkan permohonan tarikh baru oleh peguam bela.

Dalam pada itu, Ahmad Shamil ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi kerana Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1957 tidak menyatakan berat minimum meskipun dadah jenis Delta 9- Tetrathydrocannabinol tersenarai di bawah Jadual Pertama.

“Ini adalah kes pertama di negara ini membabitkan cecair Delta 9-Tetrathydrocannabinol,” katanya.

Pada 18 Disember tahun lalu, Azhariza, Zaki dan Norihan Ali, 37, didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan mengedar ganja seberat 2,060 gram di sebuah rumah No 1, Tingkat 18, Blok N, Seri Maya Condo, Jalan Jelatek 2, Ampang, jam 9.30 malam pada 7 Disember 2015.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B ADB yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Disiarkan pada: December 7, 2016 @ 9:30am
d