mutakhir

Proses banci rumit 'diganggu'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) meminta pihak berkuasa di negara ini memberi kerjasama baik kepada pihaknya dalam proses ‘banci’ warga asing melalui program pendataan warga asing kendalian agensi berkenaan.

Ini berikutan usaha dijalankan lebih 350 sukarelawan MCCF di seluruh Semenanjung Malaysia ‘diganggu’ beberapa pihak sehingga menimbulkan kerumitan kepada pihaknya.

Pengerusinya, Halim Ishak berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen berhubung perkara itu termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada warga asing.

“Melalui bank data program ini, semua warga asing yang berada di negara ini dapat dipantau dan diselia dengan lebih tersusun selain memastikan mereka tidak mengambil hak kita sebagai warganegara.

“Data ini juga akan menyenangkan kerja pihak berkuasa apabila berlaku kejadian membabitkan warga asing,” katanya ketika sidang media, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sudah mendaftarkan lebih 15,000 warga asing dari 34 negara melalui program pendataan warga asing antara Mei hingga Disember tahun ini.

“Untuk memastikan pendataan ini dijalankan dengan jayanya, kami meminta kerjasama daripada pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Imigresen selain pemimpin masyarakat supaya seluruh migran dikenal pasti sehingga ke peringkat akar umbi.

“Data yang direkod dalam Direktori Imigran (FID) akan disalurkan kepada kerajaan untuk tindakan yang sesuai mengikut perundangan,” katanya.

Beliau berkata, warga asing yang berdaftar juga menerima manfaat sekiranya menyertai program kebajikan MCCF seperti penghantaran pulang jenazah ke negara asal dan khidmat kaunseling untuk permasalahan yang dihadapi.

Disiarkan pada: December 7, 2016 @ 9:51am
d